Di zaman Saidina Umar Al Khattab, ada seorang pemuda yang gemar berdoa di Baitullah. Namun, doanya kedengaran berlainan dari orang lain. Pemuda ini selalu berdoa ; "Ya Allah, masukkan aku dalam golongan yang sedikit!"
Kedengaran pelik bukan? Namun itulah doanya setiap kali di Baitullah. Suatu hari, Saidina Umar mendengar doa itu ketika sedang melakukan tawaf. Seusai tawaf, Saidina Umar memanggil pemuda itu lalu bertanya ; "Kenapa engkau mengucapkan doa sedemikian rupa? Tiadakah permintaan lain yang boleh engkau mohon kepada Allah?"
Jawab pemuda ini, "Ya Amirul Mukminin, aku membaca doa ini kerana aku takut dengan firman-Nya : Sesungguhnya Kami (Allah swt) telah menempatkan kamu sekalian di muka bumi & Kami adakan di muka bumi (sumber atau jalan) penghidupan. Namun amatlah sedikit kamu bersyukur.
Sambung pemuda itu ; "Aku memohon agar Allah memasukkan aku ke dalam golongan yang sedikit iaitu golongan yang bersyukur pada Allah."
Mendengar kata-kata ini, Saidina Umar r.a. meneluk dahi dan berkata pada dirinya sendiri ; "Wahai Umar, alangkah jahilnya engkau! Orang ramai lebih alim daripada engkau."
Doa ini telah mengejutkan Saidina Umar r.a. Walau kedengaran aneh namun ada kebenarannya. Dan seharusnya kita sebagai umat Islam lebih-lebih lagi di akhir zaman ini, turut berdoa agar menjadi golongan yang sedikit itu. Realiti hidup ini, betapa sedikit yang mampu bersabar dalam ujian. Betapa kurangnya mereka yang bersyukur apabila gembira dan diberi nikmat.
Hatta, syukur itu lebih sukar dari sabar. Beruntunglah bagi mereka yang dapat menzahirkan syukur ini, kerana dengan syukur, hati kita akan lebih tenang dan bahagia. Kita tidak sibuk mengejar yang tiada, tetapi kita akan lebih nikmati apa yang sudah dimiliki.
Ingatlah firman Allah Ta'ala:
"Jika kamu bersyukur, nescaya pasti akan aku tambah nikmatKu kepadamu. Jika kamu kufur atau ingkar, ingatlah sesungguhnya azab-Ku amatlah keras"
(Surah Ibrahim ayat 7)
Dalam sebuah hadis juga dicatatkan, "Bukanlah kaya itu kaya harta tetapi kaya sebenar ialah kaya hati." (Hadis Riwayat Bukhari)
Belajarlah untuk menghitung kesyukuran dalam hidup kita, bukan sibuk mengira kesukaran yang datang menjelma. Usah sibuk menjengah jendela & laman jiran, tetapi lihat dan hayatilah keindahan jendela & laman kita.
Salah satu perkara baik yang boleh kita amalkan ialah ; sebelum tidur, sebutkan sekurang-kurangnya 3 nikmat yang Allah berikan hari ini. Sebagai contoh :
1. Ya Allah, terima kasih untuk nikmat hidup hari ini. Aku masih dapat bernafas dengan baik tanpa bantuan alat pernafasan. Aku dapat jalani hari ini dengan baik dari awal pagi hingga ke saat ini.
2. Ya Allah, terima kasih untuk nikmat deria rasa ini. Dengan lidah ini, aku masih dapat menikmati keenakan juadah makanan harianku. Aku masih dapat membezakan yang mana manis, pahit, masam, masin juga tawar. Sedangkan di luar sana, ramai yang masih mencari-cari sesuap nasi dan seteguk air untuk mengalas perut.
3. Ya Allah, terima kasih untuk sepasang mata ini. Dengan mata ini, aku masih dapat membaca, melihat dan menatap naskhah cinta-Mu; Al Quran. Aku dapat membaca buku-buku yang bermanfaat. Aku dapat menatap wajah dan raut kesayanganku. Sedangkan di luar sana, betapa ramai yang tidak diberi nikmat penglihatan sejak kecil.
Selamat mencuba tips ini! Moga kita menjadi golongan yang sedikit itu ; orang yang sentiasa bersyukur!
(Petikan Kisah ; Berteduh untuk Ketenangan Hati - Ustaz Pahrol Mohamad Juoi)