"Nora, kau tahu tak raya tahun ni 2 Mei?"
" Lah, betul ke Siti? Bukan dalam kalendar 3 Mei ke?"
" Entahlah Nora, aku pun dengar ramai kat 2 Mei. Katanya ikut kaedah kira-kira, eh ke tengok anak bulan. Aku pun keliru dah."
Baru-baru ini telah tular satu video yang menyatakan bahawa 1 Syawal akan jatuh pada hari Isnin bersamaan 2 Mei 2022, sedangkan mengikut taqwim, kita dijangka akan menyambut 1 Syawal pada hari Selasa bersamaan 3 Mei 2022. Jadi, bagaimanakah sebenarnya penentuan awal bulan Islam di Malaysia, khususnya anak bulan Ramadhan dan Syawal?
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: “(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji." - Al Baqarah : 189
Dalam ayat ini, Allah SWT menjelaskan tentang faedah dan hikmah daripada perbezaan bentuk hilal (anak bulan) dengan pertambahan mahupun pengurangan pada setiap bulannya. Ia adalah tanda-tanda yang mana dengannya manusia dapat mengetahui waktu-waktu ibadat mereka yang sudah ditentukan waktunya seperti puasa, haji, zakat, dan maslahah-maslahah yang lainnya.
Dengan mengambil pedoman yang terdapat di dalam al-Quran dan al-Hadith dan juga pendapat ulama daripada kitab-kitab muktabar, terdapat 3 amalan yang berbeza dalam menentukan awal bulan Ramadhan, Syawal, dan Zulhijjah dengan kaedah berikut:
- Pertama: Rukyah (melihat anak bulan) semata-mata.
- Kedua: Hisab Falak semata-mata.
- Ketiga: Rukyah dan Hisab dengan menggunakan kriteria Imkanur Rukyah iaitu menggunakan hisab dalam menentukan kebolehnampakan anak bulan (hilal).
Perbezaan amalan dan cara di atas adalah disebabkan kepelbagaian dalam memahami dan mentafsir maksud ayat-ayat Al-Quran dan hadith yang berkaitan. Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan cara penentuan awal Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah dengan rukyah dan hisab berdasarkan kepada kriteria Imkanur Rukyah.
Kriteria Imkanur Rukyah ini pada mulanya diguna bagi penentuan awal bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah sahaja manakala bulan-bulan lain secara kaedah Wujudul Hilal. Pada tahun 1995, Jawatankuasa Teknikal Kalendar Islam telah menetapkan penggunaan kriteria Imkanur Rukyah untuk semua bulan Hijriah dalam pelaksanaan Takwim Hijriah.
Pandangan Dato’ Sr Dr Azhari Mohamed, Presiden Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia ( Royal Institution of Surveyors Malaysia – RISM) dan Timbalan YDP Persatuan Falak Syar‘i Malaysia
Berdasarkan kiraan falak untuk 1 Mei 2022, iaitu hari ke-29 Ramadhan (hari melihat anak bulan Syawal), tinggi bulan di Tg Cincin, Langkawi (stesen rujukan paling barat) ialah 5° 15′ dan jarak lengkung adalah 6° 2′. Ini bermakna bahawa sifat bulan mengikut hisab pada 1 Mei 2022 tidak memenuhi kriteria baru dan mustahil untuk dilihat. Oleh itu, insya Allah Hari Raya Aidil Fitri dijangka jatuh pada hari Selasa 3 Mei 2022.
Walau bagaimanapun, oleh kerana Malaysia menggunakan kaedah rukyah dan hisab dalam penetapan awal bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah, tarikh sebenar Hari Raya Aidil Fitri 1443H/2022M bagi Malaysia akan diumumkan setelah menerima hasil pelaporan rasmi kenampakan anak bulan dari 29 tapak cerapan anak bulan seluruh Malaysia. Pengumuman tarikh sambutan Hari Raya Aidil Fitri 1443H/2022M bagi Malaysia akan dibuat melalui pengisytiharan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Pandangan Sahibul Fadhilah Ustaz Khairul Anuar bin Yazid, Ketua Seksyen Kajian Falak, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Penentuan awal bulan Hijri di Malaysia mengguna pakai kaedah rukyah dan hisab. Rukyah (melihat anak bulan) dilaksanakan pada hari ke-29 setiap bulan (fokus 29 Ramadhan). Sekiranya anak bulan (hilal) tidak kelihatan, maka hisab digunakan dengan merujuk kepada syarat Kriteria Imkanur Rukyah (KIR) yang telah dipersetujui. Sekiranya syarat dipenuhi maka esoknya menjadi 1 Syawal dan sekiranya tidak dipenuhi maka esoknya digenapkan 30 hari Ramadhan (puasa).
Bagi bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah, pihak yang bertanggungjawab untuk merukyah hilal dan melaporkan kenampakan hilal ialah jawatankuasa yang dipengerusi dan diurusetiakan oleh Jabatan Mufti Negeri. Mereka ini diberi tanggungjawab untuk merukyah hilal di 29 lokasi cerapan hilal seluruh Malaysia. Sekiranya hilal kelihatan, laporan akan dipanjangkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, begitu juga jika hilal tidak kelihatan.
Dalam persoalan di atas, saya rumuskan dan tekankan kepada beberapa noktah utama:
- Menjadi pensyariatan untuk melihat anak bulan Ramadhan dan Syawal berdasarkan nas yang sahih seperti yang dibincangkan di atas.
- Ijtihad dengan mengguna pakai hisab dan imkanur rukyah boleh diterima pakai berdasarkan istinbat mengikut sebahagian pendapat ulama’.
- Kuasa menentukan anak bulan terletak kepada pemerintah (Ketua Negara iaitu jika di Malaysia, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Raja bagi sesebuah Negeri). Hal ini selaras dengan peranan dan tanggungjawab pemerintah. Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: “Sebahagian besar perlaksanaan hukum-hakam dalam syariat Islam tertakluk kepada kuasa pemerintah. Hukum-hakam itu tidak mungkin dapat dilaksanakan kecuali melalui kuasa dan arahan pemerintah.”
- Apabila berlaku khilaf, maka hakim atau pemerintahlah yang akan memutuskannya.
Ambillah pengetahuan dan ilmu dari ahlinya. Biar bertindak & beramal dengan ilmu, agar tidak terpesong dan melulu. Selamat menikmati baki akhir Ramadhan dengan keimanan dan kesungguhan sebagai seorang hamba-Nya!
Kredit penulisan asal : #1030 Penentuan Awal Bulan Syawal Di Malaysia - Dr Zulkifli Al Bakri