Pada 16 April (Sabtu) yang lalu, warga Telekung Rawdah berkesempatan mengadakan program 'Jalinan Kasih Telekung Rawdah' bersama warga Rumah Amal Limpahan Kasih. Program kemasyarakatan ini diadakan bagi menjalinkan persaudaraan, menggembirakan saudara Muslim yang lain sambil berehat seketika dari hal kerja.
Beberapa hari sebelumnya, satu tim bertugas untuk mendapatkan & membeli barang keperluan di Checkers Shah Alam. Kemudian, diikuti dengan aktiviti mengumpul, menyusun atur, proses membungkus (packing) dijalankan di gudang Telekung Rawdah. Penting untuk setiap perkara disusun lebih awal agar mudah untuk diangkut pada hari kejadian.
Tiba Sabtu yang dinanti, barang dimasukkan ke dalam kenderaan staf yang turut serta. Sedikit penerangan dijalankan agar aktiviti berjalan seperti yang dirancang. Setibanya kami di Rumah Amal Limpahan Kasih, kami berkesempatan untuk solat Zohor berjemaah di surau mereka. Kagum dengan didikan guru pada anak-anak ini apabila melihat semangatnya mereka berzikir, menjadi imam & menghadirkan diri dalam solat jemaah ini.
Usai solat Zohor, seramai 40 orang anak jagaan dibawa ke Mydin USJ 1 untuk membeli belah sempena Aidilfitri yang bakal tiba.Terlakar riak puas, bahagia, gembira pada raut anak ini. Seronok dapat menghirup udara luar, memilih busana raya dan kelengkapan untuk Aidilfitri tahun ini.
Anak-anak ini memilih pakaian raya, kasut raya dan kerongsang untuk dipadankan bersama. Ada yang hingga rambang mata, tak tahu nak pilih yang mana kerana semua cantik di mata.
Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan selesai awal dari yang dijangka.Kami kembali ke rumah jagaan untuk solat Asar & bersiap sedia untuk berbuka puasa. Hidangan berbuka puasa kali ini, istimewa atas permintaan warga rumah jagaan. Ada lauk sotong, ayam, ikan keli, buah tembikai, sate dan air kordial yang menyegarkan.
Tiba saat berbuka puasa, kami menjamah sedikit kurma & air kemudian bergegas menunaikan Solat Maghrib. Aktiviti berbuka puasa dengan nasi, lauk-pauk yang pelbagai diteruskan selepas solat. Seronok rasanya hati, apabila dapat makan bersama setalam. Berkongsi kisah, bertukar cerita dan riang tawa. Diselangi dengan nasyid dari warga rumah amal, aktiviti pemberian duit raya & telekung baharu buat warga Rumah Amal Limpahan Kasih.
Alhamdulillah, moga sedikit amal ini menjadi satu kebaikan & diangkat menjadi ahsanu 'amala di sisi Allah. Terima kasih pada semua penyumbang dan mereka yang terlibat menjayakan program ini. Moga Telekung Rawdah dapat terus menebarkan manfaat buat ummah.
"Seanggun Bidadari Menghadap Ilahi"
TELEKUNG RAWDAH ™️
www.telekungrawdah.com